PENGARUH FALSAFAH PENDIDIKAN BARAT (FPB) TERHADAP PERKEMBANGAN PENDIDIKAN DI MALAYSIA

 Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) tidak wujud dengan sendirinya tetapi dirancang dengan teliti serta mempunyai acuannya yang tersendiri.Acuan yang digunakan diambil dari yang terbaik dari Falsafah Pendidikan Islam (FPI) dan  Falsafah Pendidikan Barat (FPB). Biar apapun aliran falsafah yang diikuti, yang pasti dan jelas matlamat falsafah pendidikan kebangsaan adalah dapat mendidik pelajar menjadi insan yang benar-benar baik dan sesuai dengan statusnya sebagai khalifah.

Antara aliran falsafah dari FPB yang digunapakai dalam FPK adalah  essensialisme, parennialisme, progressivisme dan eksistensialisme.

1. Aliran Essensialisme

Pendidikan essensialisme bersifat fleksible dimana ia terbuka untuk perubahan, toleran dan tidak terikat dengan dokterin tertentu. Falsafah aliran ini mementingkan pembentukan peribadi dan kurikulumya disusun dari topik yang mudah kepada yang lebih kompleks serta menekankan kemahiran 3M iaitu menulis, mengira dan membaca.

 Menurut Tajul dan Noraini (1992), sumbangan kurikulum essensialisme yang dapat dilihat dalam perkembangan sistem pendidikan di Malaysia ialah guru sebagai model, penerapan nilai-nilai murni dalam setiap mata pelajaran, mata pelajaran di bahagikan kepada teras dan elektif dimana menggambarkan mata pelajaran penting dan kurang penting seperti pelaksanaan KBSM dan penekanan 3M dalam pelaksanaan KBSR (Abdul Rahman dan Zakaria Kasa, 1986). Pendidikan di Malaysia mempunyai matlamat untuk menyatupadukan rakyat dan dapat membekalkan pekerja-pekerja mahir untuk pembangunan ekonomi Negara serta melahirkan rakyat yang berdisiplin (Azizi Jaafar, 2009). Ketiga-tiga matlamat ini merupakan kesan daripada fahaman essensialisme yang menganggap individu sebagai alat demi kepentingan pembangunan negara daripada kepentingan individu.


2. Aliran Parennialisme

Parennialisme pula berasaskan daripada falsafah tradisional yang banyak dipengaruhi oleh fahaman idealisme. Mengikut ahli parennialisme, nilai moral dan rasional manusia semakin merosot (Mok Soon Sang, 2010). Oleh itu, untuk meyelamatkan umat manusia daripada kelenyapan fungsi utama pendidikan hendaklah mengutamakan perkembangan potensi rasional individu, membantu mencari prinsip mutlak dan memahami dunia yang sebenar.

Menurut Mok Soon Sang (2010) sama seperti falsafah essensialisme, falsafah parennialisme juga mempunyai matlamat untuk menyatupadukan rakyat dan dapat membekalkan pekerja-pekerja mahir untuk pembangunan ekonomi Negara serta melahirkan rakyat yang berdisiplin. Matlamat ini dikira sebagai lebih mengutamakan Negara daripada individu itu sendiri dan ia menunjukkan sistem pendidikan lama di Malaysia bersifat tradisional. Falsafah pendidikan yang terlalu progesif tidak sesuai diserapkan dalam Dasar Pendidikan Negara kita. Jadi pemilihan beberpa prinsip falsafah parennialisme juga boleh diterima. Aliran parennialisme mementingkan nilai (Azizi Jaafar, 2009). Dengan menanam nilai-nilai kepada pelajar,mereka dapat menyeimbangkan antara pembangunan manusia sebagai insan dan kemajuan sains dan teknologi. Di samping itu, parennialisme yang rasional akan membantu melahirkan rakyat yang berkualiti. Falsafah pendidikan 8 kebangsaan juga mengharapkan penerapan nilai-nilai murni kepada pelajar agar mereka menjadi masyarakat yang berakhlak mulia.


3. Aliran Progressive

Pengajaran progressive pula, mereka menggunakan pendekatan induktif dalam mencapai matlamat pendidikan kerana pendekatan induktif tidak memerlukan teori tetapi memerlukan mereka membentuk penerangan sendiri yang akan menerangkan fenomena yang didedahkan. Menurut aliran ini,, guru hanyalah berfungsi sebagai pembimbing atau penasihat dalam penyelesaian masalah. Pelajar bebas memilih dan membuat keputusan ke atas dirinya jika ianya dianggap baik. Mereka menggambarkan pendidikan adalah penghidupan dan bukan persedian untuk hidup.

Walaupun pada dasarnya falsafah pendidikan progressivisme tidak diamalkan sepenuhnya di Negara ini, tetapi secara tidak langsung kita dapat melihat perkaitannya dengan falsafah pendidikan kebangsaan iaitu untuk melahirkan masyarakat yang berilmu pengetahuan dan bertanggungjawab serta usaha untuk mewujudkan masyarakat yang maju dan berilmu. Di dalam falsafah pendidikan juga meggalakkan pelajar agar mempunyai sikap yang kreatif dan inovatif agar dapat menyumbang dalam perkembangan teknologi negara. Sekolah merupakan tempat dimana segala ilmu penyelidikan dilakukan seperti di makmal. Pelajar bukan sahaja menerima ilmu daripada guru, malah turut melakukan penyelidikan untuk mengembangkan ilmu tersebut. Falsafah pendidikan juga mengharapkan potensi pelajar berkembang dengan menyeluruh tetapi dalam fahaman progressivisme ini, agama diketepikan. Justeru itu, falsafah pendidikan kebangsaan menyatupadukan antara perkembangan potensi pelajar yang seimbang serta unsur spiritual. Ini kerana kemajuan tanpa agama akan menyebabkan manusia hilang pedoman serta nilai dalam diri akan terhakis dan manjadikan manusia bersifat ego dan individualistik.







4. Aliran Eksistensialisme

Aliran fahaman eksistensialisme mengutamakan pembelajaran kendiri dan bukan mencari ilmu pengetahuan. Fokus utama kurikulum hendaklah dipindahkan daripada perkara alam dunia kepada dunia personaliti. Kurikulum eksistensialisme pula mementingkan kebebasan. Kurikulum eksistensialisme tidak tetap kerana kurikulumnya berdasarkan minat pelajar itu sendiri.  Pelajar akan memilih program pelajaran tanpa ada paksaan atau hasutan dari sesiapa.Guru bukan penyebar ilmu tetapi membantu pelajar berjaya dalam usaha mencari kesedaran kendiri. Mereka menyokong kaedah pembelajaran Socrates. Perkara yang paling penting dalam pendidikan eksistensialisme ini ialah individu hendaklah mendidik diri sendiri dan juga berupaya mambuat keputusan mengenai kelakuan, kursus yang ingin diambilnya dan kaedah pembelajaran yang dikehendakinya

Falsafah pendidikan eksistensialisme mempunyai konsep yang kabur dan mendatar. Fahaman ini berkaitan dengan kebebasan dalaman untuk mengarahkan penhidupan. Kebebasan secara keseluruhan tidak sesuai dalam pendidikan di negara ini kerana kebebasan tanpa petunjuk tidak akan dapat membawa pelajar ke destinasi yang diharapkan iaitu kepada matlamat pendidikan yang mengharapkan pelajar mencapai kesedaran kendiri. 

Dalam hal ini, konsep pendidikan eksistensialisme yang baik dan berguna sahaja yang 9 dijadikan panduan, bukanlah perkara yang bercanggah dengan agama. Falsafah ini mengajar kita supaya bertanggungjawab atas keputusan yang dibuat tanpa menyalahkan orang lain. Falsafah pendidikan juga mengharapkan pelajar mempunyai sifat tanggungjawab kepada diri dan masyarakat. Selain itu perkembangan potensi yang menyeluruh juga disarankan tetapi dalam falsafah pendidikan, kebebasan yang diharapkan bukanlah kebebasan yang mutlak. Kebebasan yang disarankan ialah kebebasan yang mampunyai petunjuk agar manusia mempunyai hala tuju yang benar.



Falsafah barat memainkan peranan penting terhadap perkembangan pendidikan di Malaysia. Falsafah pendidikan Kebangsaan mempunyai beberapa ciri-ciri yang diterapkan dari falsafah barat.

Berdasarkan penjelasan yang telah dihuraikan, jelaslah bahawa terdapatnya ciri-ciri falsafah pendidikan essensialisme, parennialisme, progresivisme dan eksistensialisme dalam pembentukan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Hanya ciri-ciri yang sesuai sahaja yang akan diambil untuk diserapkan kedalam sistem pendidikan di Malaysia. 

Falsafah pendidikan kebangsaan adalah gabungan daripada aspek-aspek nilai yang baik yang terdapat dalam aliran falsafah pendidikan tradisional dan moden. Pendekatan falsafah pendidikan kebangsaan ini boleh dipanggil sebagai falsafah pendidikan eklektisisme yang berasal daripada perkataan eclectic yang membawa maksud memilih daripada pelbagai sistem atau falsafah, atau tercipta daripada pelbagai sumber (Tajul,1992).

 Melalui sistem pendidikan sekarang diharapkan dapat menghasilkan individu dan masyarakat yang berilmu pengetahuan, luhur dan mulia dari segi rohani, sihat dan bersih dari segi mental dan fizikal serta dapat berbakti kepada agama, bangsa dan negara seterusnya dapat menyumbangkan tenaga kea rah menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju.

Comments